KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Pendidikan Sabah yang diketuai Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Haji Raisin Saidin di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, Raisin menyampaikan taklimat mengenai program utama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi tahun ini dan perancangan tahun hadapan, termasuk perkembangan serta pencapaian memberangsangkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar negeri ini.
Hajiji dalam pada itu menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pendidikan, khususnya dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, memperkasa pengurusan sekolah serta memastikan pembangunan holistik murid di seluruh Sabah.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik dan berterusan antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Sabah bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh.
“Hubungan erat ini penting dalam usaha memperkasa sektor pendidikan negeri, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Delegasi Jabatan Pendidikan Negeri turut disertai Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Puan Indang Kasi Haji Sibin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Krishna KS @ Mohd Fadzli Hj Abd Rozan; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Muddin Beting; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan, Encik Salleh Linggam.
