KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ketua Pejabat Konsular Jepun bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, Konsul-Jeneral Encik Yamashita Yoshito di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Kunjungan itu diadakan sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Yamashita pada akhir Mac tahun ini, setelah berkhidmat selama 2 tahun 6 bulan di Sabah.
Mengiringi Yamashita ialah penggantinya, Encik Nakasuji Hisaki.Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hubungan kerjasama antara Sabah dan Jepun, khususnya dalam bidang pelaburan, pelancongan, ekonomi serta pembangunan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Hajiji turut merakamkan penghargaan atas peranan Yamashita dalam memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara Jepun dengan Sabah sepanjang tempoh beliau berkhidmat di negeri ini.
Beliau juga berharap hubungan baik antara Sabah dan Jepun akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, terutamanya dalam usaha menarik lebih ramai pelabur dan pelancong Jepun ke Sabah.
