KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Selasa.
Ini merupakan kunjungan rasmi pertama Mustapha setelah dilantik ke jawatan itu pada 16 Disember 2025. Beliau sebelum ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Hajiji menyambut baik kunjungan Mustapha dan menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh untuk kepentingan rakyat.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Puan Grace Lee Li Mei.
