TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau kesan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna berikutan pelaksanaan semakan semula kadar sedia ada di Sabah dan Labuan bermula 1 Februari 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagaimanapun berkata kenaikan yang dialami pengguna hanya sedikit dan tidak membebankan mereka.
“Kita akan sentiasa melihat kesannya, tapi saya ingat kesannya cuma sedikit. Kalau sekarang seorang itu membayar RM100, dia cuma tambah mungkin RM15 saja. Jadi, tidaklah membebankan sangat kalau RM15 kita dapat elektrik yang bagus, jadi ini rasionalnya (kenaikan tarif),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung yang baharu di Taman Sawit, Balung pada Ahad.
Beliau ditanya mengenai pelaksanaan semakan semula tarif elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) bermula 1 Februari 2026 yang menyaksikan pelarasan kadar tarif daripada kadar purata asas 34.52 sen/kWj kepada 39.70 sen/kWj.
Ketua Menteri menjelaskan kadar baharu itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dengan mengambil kira keperluan yang ada di Sabah sekarang.
“Tarif di Sabah agak rendah berbanding di Semenanjung, kita cuma naik lima sen atau 15 peratus saja dan ianya tidak begitu membebankan kepada rakyat biasa yang mungkin sekitar 70 peratus hingga 80 peratus di Sabah ini.
“Perkara ini tidak dapat dielak kerana kita menanggung kos yang tinggi, bermacam-macam sekarang ini. Jadi ianya perlu untuk kita mengatasi semua ini,” katanya.
Hajiji memaklumkan, ketika ini Kerajaan Persekutuan memberi subsidi untuk bekalan elektrik di Sabah yang berjumlah lebih kurang RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
“Jadi kita tidak boleh berterusan begini. Kalau naik sedikit begitu hanya lima sen, itu boleh mengurangkan subsidi yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, Kabinet Negeri bersetuju atas cadangan dikemukakan Energy Commission of Sabah (ECoS) dan SE selepas mengambil kira peningkatan kos operasi janaan tenaga di negeri ini.
Sementara itu, mengenai SAN Apas Balung, Hajiji berkata, beliau tertarik atas usaha membina sekolah itu yang siap dalam masa tiga bulan hasil sumbangan pelbagai pihak sebagai permulaan untuk pembinaan sekolah berkenaan sebelum disusuli bantuan kerajaan untuk membesarkannya.
Katanya, beliau juga tertarik dengan inisiatif pengurusan sekolah berkenaan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sejajar perkembangan semasa dalam bidang pendidikan.
“Saya tertarik hati, ini sekolah agama yang pertama menggunakan AI, ia sangat menarik. Inilah zaman yang kita hadapi pada masa akan datang ini, teknologinya serba canggih dan bukan saja di sekolah biasa, tapi di sekolah agama juga.
Katanya, kerajaan negeri juga menyokong cadangan pengurusan sekolah itu untuk mewujudkan sekolah menengah agama sebagai kesinambungan pendidikan agama yang diikuti oleh pelajarnya.
“Ianya satu cadangan yang cukup baik kerana bagi kita sekolah menengah agama perlu diperluaskan lagi atau ditambah lagi bilangan di Sabah kerana keperluan masyarakat Islam amat tinggi untuk belajar di sekolah menengah agama. Jadi perancangan itu cukup baik, sekolah menengah dan seterusnya mungkin universiti Islam dan sebagainya,” katanya.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap EXCO Agama negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Sementara itu, Hajiji yang menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Ansar, Taman Sawit Balung, turut menyampaikan sumbangan daripada Bahagian Zakat kepada asnaf yang layak.
