KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu keutamaan diberikan kepada projek keperluan mendesak serta yang boleh dilaksanakan dengan segera dan memberi manfaat cepat kepada rakyat, khususnya projek di bawah institusi pendidikan dan hospital.
Berdasarkan laporan MyProjek, katanya negeri Sabah menerima peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebanyak RM6.59 Bilion meliputi 1,233 projek atau program yang menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan bagi memastikan Sabah terus maju seiring dengan hasrat Kerajaan MADANI dan SMJ 2.0.
“Saya juga mahu pemantauan lebih lebih kerap kepada projek-projek pembangunan yang dilaksanakan agar tidak berlaku kelewatan.
“Isu dan masalah pelaksanaan projek perlu diteliti dan dirujuk kepada saluran yang tepat seperti agensi pusat yang berkaitan dan Kerajaan Negeri sekiranya terdapat masalah seperti peruntukan, isu tanah dan isu utiliti,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada Isnin.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu pada 15 Mac 2026 yang lalu telah memberi penekanan kepada pelaksanaan segera projek-projek kecil yang bersifat “low-hanging fruit” (mudah disiapkan) yang boleh memberi impak segera kepada rakyat.
“Projek-projek kecil ini perlu dilaksanakan dengan cekap, pantas, mengikut jadual dan penuh integriti agar ianya dapat segera dinikmati rakyat negeri Sabah.
“Tidak sewajarnya projek-projek dalam kategori ini mengalami lewat jadual atau menjadi sakit, selalunya disebabkan oleh isu-isu setempat seperti pemilikan tanah, utiliti dan sebagainya.
“Saya mahu agar agensi pelaksana dan pemilik projek dapat membuat pemantauan yang kerap bagi pelaksanaan projek “low-hanging fruit” ini,” katanya.
Hajiji berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2026 merupakan kesinambungan agresif daripada agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau menambah pada tahun 2026, Kerajaan Negeri telah melancarkan SMJ 2.0 (2026–2030) yang meletakkan usaha pembasmian kemiskinan sebagai tonggak utama untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir dalam arus pembangunan negeri.
“Dengan peruntukan belanjawan yang mencatat rekod tertinggi (RM12.02 bilion bagi 2026), sebahagian besar dana dialirkan untuk projek infrastruktur asas (air, elektrik dan jalan raya) yang secara langsung akan memacu aktiviti ekonomi di seluruh daerah,” katanya.
Selain itu, bagi meningkatkan kualiti hidup dan memberi rasa selamat kepada rakyat yang berada dalam kategori rentan, banyak inisiatif Kerajaan Negeri Sabah telah dilaksanakan termasuk antaranya Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), katanya.
“Kejayaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 telah memberikan kita keyakinan bahawa negeri ini berada pada landasan yang tepat.
“Pelan Pembangunan SMJ 2.0 merupakan lanjutan yang menuntut perubahan yang berterusan dalam mempertingkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat,” katanya.
Ketua Menteri berkata dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 juga, fokus Kerajaan Negeri masih tertumpu pada tiga sektor utama, iaitu sektor Pertanian,Perindustrian, dan Pelancongan, Ini termasuk Memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakya untuk memastikan tiada rakyat yang tertinggal dalam arus pemodenan serta Infrastruktur dan Jaringan Hijau dalam empercepatkan penyelesaian isu bekalan air, elektrik, dan rangkaian jalan raya (terutamanya Lebuhraya Pan Borneo).
Hajiji berkata pelaporan berkaitan projek-projek yang tertangguh dalam mesyuarat adalah penting bagi memastikan isu-isu pelaksanaannya dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana kelewatan dalam penyiapan projek akan menyebabkan kenaikan kos dan merugikan pihak Kerajaan,” katanya.
Selaku Ketua Menteri dan Pengerusi mesyuarat MTPNg, beliau mahu agar semua pihak yang relevan terus komited untuk menyelesaikan isu-isu yang melibatkan kelewatan pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri Sabah khususnya projek-projek “low-hanging fruit” yang boleh memberi impak terus kepada rakyat.
