KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag antara tetamu yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M Istana Seri Kinabalu, pada 1 Syawal.
Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh harmoni itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Tussin.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Speaker Dewan Undangan Negeri, barisan Menteri Kabinet, Pembantu-Pembantu Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),konsul kehormat dari negara asing serta pegawai kanan kerajaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan jamuan Aidilfitri yang menyajikan pelbagai hidangan tradisional, diiringi persembahan yang menambahkan kemeriahan suasana.
Acara kemudian diteruskan dengan sesi bergambar bersama Yang di-Pertua Negeri dan Toh Puan sebagai simbol penghargaan serta kenangan kepada para tetamu yang hadir.
