KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengalualukan inisiatif Shell Malaysia untuk memperkasakan penyertaan tempatan dalam industri minyak dan gas negeri yang bertujuan memperluas peluang ekonomi bagi rakyat Sabah.
Beliau berkata, pada tahun lalu Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran peningkatan sebanyak 100 peratus bagi nilai kontrak Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang dianugerahkan kepada syarikat tempatan.
“Sasaran ini menekankan komitmen jitu negeri untuk memperkukuh penglibatan tempatan dan memupuk ekosistem tenaga tempatan yang berdaya tahan,” tambahnya.
Ketua Menteri berkata demikian semasa kunjungan hormat daripada Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Sulaiman di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Siti memberi taklimat perkembangan perniagaan mengenai aktiviti dan projek Shell yang sedang berjalan di Sabah, termasuk usaha syarikat dalam memupuk keusahawanan tempatan melalui program Shell LiveWIRE.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Sabah Shell, Alexon Jong, Pengurus Besar Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Jonathan Jolly dan Penasihat Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Liz Kumar.
