KOTA KINABALU: Kestabilan politik yang dinikmati Sabah ketika ini perlu terus dipelihara sebagai asas utama kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat, kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Hajij Mohd Hasnan Tawik @ Charles.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kestabilan politik demi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, kestabilan politik adalah elemen kritikal yang bukan sahaja menjamin kelancaran pentadbiran, malah meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap hala tuju pembangunan negeri.
Katanya, kepimpinan Ketua Menteri yang inklusif dan berpandangan jauh berjaya mewujudkan suasana pentadbiran yang stabil, sekali gus menyokong pelaksanaan agenda pembangunan melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Pelaksanaan SMJ 2.0 mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekonomi, memperkasa modal insan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama agar terus bersatu padu serta memberikan sokongan kepada kepimpinan negeri bagi mengekalkan kestabilan sedia ada.
“Semua pihak perlu berganding bahu memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan dan memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau turut berharap semangat Aidilfitri yang menekankan nilai perpaduan, toleransi dan kebersamaan dapat terus dipupuk sebagai kekuatan utama masyarakat Sabah dalam mendepani cabaran masa depan.
