KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) dan Pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah Malik Aman, menegaskan bahawa tindakan memijak al-Quran dan menyebarkannya di media sosial adalah satu bentuk penghinaan melampau yang tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat Malaysia.
Beliau berkata, insiden tersebut bukan sekadar kes terpencil, sebaliknya menyentuh sensitiviti agama majoriti rakyat dan berpotensi menggugat keharmonian negara jika tidak ditangani secara tegas.
“Ini bukan isu remeh dan bukan soal kebebasan bersuara. Ini adalah tindakan menghina kitab suci umat Islam secara terbuka. Malaysia meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan majoriti rakyatnya beragama Islam. Perbuatan seperti ini jelas melampaui batas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kecenderungan untuk memandang ringan tindakan provokatif atas nama toleransi adalah pendekatan yang berbahaya.
“Jangan sesekali normalisasikan penghinaan agama. Jika kita terlalu berlembut dalam kes ekstrem seperti ini, mesej yang sampai kepada masyarakat ialah penghinaan boleh dibuat tanpa akibat yang setimpal. Itu sangat berisiko dalam negara berbilang kaum dan agama,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja atau 3R mempunyai implikasi besar terhadap kestabilan nasional.
“Perkara seperti ini boleh mencetuskan kemarahan yang sukar dikawal jika tidak ditangani dengan jelas dan tegas. Kita tidak mahu sebarang kekacauan. Sebab itu undang-undang mesti dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar hukuman maksimum dipertimbangkan sekiranya individu terbabit didapati bersalah.
“Kami menuntut tindakan tegas dan hukuman maksimum sekiranya sabit kesalahan. Ini bukan soal dendam, tetapi soal pencegahan. Negara perlu memberi isyarat jelas bahawa provokasi agama melampau tidak akan dilayan dengan toleransi,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya bertenang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Kemarahan itu boleh difahami. Namun tindakan mesti berlandaskan undang-undang. Jangan ambil tindakan sendiri. Percayakan proses undang-undang dan biar pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang penuntut universiti tempatan berusia 21 tahun di Kuantan direman selama empat hari bagi membantu siasatan susulan penularan gambar menunjukkan seorang lelaki memijak al-Quran dan memuat naiknya di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata penahanan dibuat selepas bapa suspek hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk membuat laporan berhubung hantaran tersebut serta membawa anaknya untuk memohon maaf kepada umat Islam kerana bimbang akan keselamatannya.
Turut tular ialah tangkap layar komen yang didakwa mengandungi penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Suspek direman bermula hari ini hingga 28 Februari. Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menghina agama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sehingga boleh menggugat ketenteraman awam sementara siasatan dijalankan.
