LAHAD DATU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengesahkan bahawa taska yang terlibat dalam kes kematian seorang bayi yang dipercayai didera oleh pengasuh, lima hari lalu, merupakan premis yang berdaftar serta mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, taska berkenaan juga telah melalui beberapa pemeriksaan oleh pihak kementerian sebelum ini bagi memastikan operasi yang dijalankan mematuhi peraturan ditetapkan.
Menurut beliau, kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis dan pengasuh yang terlibat telah ditahan serta direman bagi membantu siasatan.
“Siasatan telah dijalankan oleh pihak polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pengasuh tersebut telah ditahan dan direman, manakala rakaman CCTV yang tular juga sedang dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Nancy berkata, sebarang maklumat lanjut berhubung kes tersebut perlu dirujuk kepada pihak polis kerana siasatan masih dijalankan.
Beliau turut menjelaskan bahawa penutupan taska tersebut memberi kesan kepada kira kira 40 kanak kanak yang sebelum ini ditempatkan di premis berkenaan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang juga bersedia membantu ibu bapa mencari taska alternatif yang berdaftar dan selamat bagi memastikan kebajikan kanak kanak terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sinar Syawal Yayasan Kebajikan Negara Kasih PSSS di Masjid Nurul Jihad, Kampung Cocos, di sini, semalam.
Dalam majlis tersebut, Nancy turut menyampaikan peruntukan geran berjumlah RM120,000 kepada dua buah masjid serta dua persatuan masyarakat di daerah ini.
Selain itu, sebanyak 100 bakul makanan turut disampaikan kepada golongan asnaf bagi membantu meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri.
