KENINGAU: Kerjasama strategik antara Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) dan persatuan kebudayaan tempatan diperkukuh bagi memastikan kelestarian adat, budaya serta bahasa etnik anak negeri terus terpelihara dalam arus pemodenan.
Usaha itu dimantapkan menerusi Mesyuarat SAANS yang diadakan di AMG Academy Training Centre di sini, baru-baru ini, bagi memberi taklimat mengenai matlamat dan objektif penubuhan SAANS di bawah naungan Pertubuhan Sunduan Nabalu kepada kepimpinan persatuan kebudayaan daerah ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Pengarah SAANS Zon Pedalaman Atas Blok A merangkap Pengetua SAANS, Gr. Rozie Gitang, bersama Dsp. GS. Sundang, serta Presiden empat persatuan kebudayaan utama Keningau.
Rozie berkata, mesyuarat itu menjadi platform penting membina kerjasama pintar antara pentadbir dan guru SAANS dengan persatuan kebudayaan bagi menjayakan program pendidikan adat serta aktiviti kebudayaan secara bersepadu.
Menurutnya, kedua-dua pihak berkongsi matlamat sama, khususnya dalam memelihara adat resam dan bahasa sebagai teras identiti etnik anak negeri untuk diwarisi generasi akan datang.
“Kerjasama yang kukuh dan berterusan amat penting bagi memastikan visi serta misi pendidikan adat dapat direalisasikan secara berkesan,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, semua pihak turut diseru berganding bahu menjayakan Karnival Pendidikan SAANS Kali Ke-4 yang dijadual berlangsung pada 10 April 2026 di Pusat Latihan Asas Guru (PLAG), Lomawang, Tuaran.
Beliau turut menyatakan keyakinan kerjasama ini mampu direalisasikan lebih jauh, termasuk pembinaan Rumah Budaya Etnik masing-masing secara gotong-royong melalui sumbangan tenaga, dana dan kepakaran bersama.
