PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) mengadakan kunjungan hormat dan sesi perbincangan bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini hari ini bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan sektor pertanian dan perikanan di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar yang mengetuai delegasi MAFFI berkata, pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkasa rantaian pengeluaran makanan negeri khususnya melibatkan padi, beras, jagung, ternakan ruminan serta infrastruktur sokongan sektor pertanian.
“Hari ini saya dan rombongan MAFFI mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Datuk Seri Mohamad Sabu di Putrajaya bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi memastikan agenda keterjaminan makanan Sabah dapat dipacu dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, antara agenda utama yang dibincangkan ialah pengukuhan pembangunan tanaman padi dan beras Sabah melalui peranan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sebagai teras kepada peningkatan tahap sara diri (SSL) beras negeri.
Selain itu, katanya, pembangunan tanaman jagung untuk tujuan makanan ternakan turut diberi penekanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah dari luar negara.
“Usaha mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di beberapa daerah juga dibincangkan bagi memudahkan urusan pemasaran, logistik dan pengurusan rantaian bekalan hasil tani tempatan,” katanya.
Jamawi turut memaklumkan bahawa pembinaan jeti baharu untuk kemudahan nelayan di Sandakan dan Semporna menjadi antara fokus penting bagi mempertingkatkan kebajikan serta kecekapan operasi komuniti nelayan di pantai timur Sabah.
Menurut beliau, sektor ternakan ruminan turut dirangka untuk diperkasakan melalui sokongan teknikal, pemodenan kaedah penternakan serta penyediaan kemudahan sokongan yang lebih tersusun.
“Cadangan penambahbaikan infrastruktur jalan-jalan pertanian di seluruh Sabah juga diketengahkan supaya akses ke kawasan ladang dan perkampungan tani dapat dipertingkatkan sekali gus mengurangkan kos operasi pengusaha,” katanya.
Dalam kunjungan tersebut, Jamawi diiringi Pembantu Menteri I, Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri II, Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong, serta beberapa pegawai kanan kementerian.
Beliau berkata, pihaknya amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, termasuk Ketua Setiausaha Kementerian serta Timbalan Menteri, Datuk Chan Foong Hin dalam menyokong agenda pembangunan pertanian Sabah.
Jamawi menegaskan, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan adalah kunci utama untuk memastikan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan di Sabah terus berdaya saing, mampan serta mampu menjamin keselamatan makanan jangka panjang negeri ini.
