TAWAU: Kerajaan negeri menegaskan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026 di Sabah dan Labuan adalah minimum dan tidak membebankan majoriti pengguna.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata peningkatan bayaran yang ditanggung pengguna hanyalah kecil berbanding manfaat penambahbaikan kualiti bekalan elektrik.
“Impaknya hanya sedikit. Jika sekarang seseorang membayar RM100, tambahan mungkin sekitar RM15 sahaja.
“Jadi ia tidak membebankan sangat sekiranya dengan bayaran itu kita mendapat bekalan elektrik yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung, hari ini.
Hajiji menjelaskan, semakan semula tarif elektrik oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) menyaksikan kadar purata asas naik daripada 34.52 sen/kilowatt jam (kWj) kepada 39.70 sen/kWj, yang diluluskan Jemaah Menteri selepas mengambil kira kos sebenar penjanaan tenaga dan keperluan semasa di negeri ini.
Menurut beliau, tarif elektrik di Sabah masih rendah berbanding Semenanjung, dan kenaikan ini hanya sekitar lima sen atau 15 peratus, memberi kesan minimum kepada kira-kira 70 hingga 80 peratus pengguna domestik.
“Langkah ini tidak dapat dielakkan memandangkan kos operasi dan penjanaan tenaga semakin meningkat. Pelarasan ini perlu bagi memastikan kelangsungan sistem bekalan elektrik di negeri ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan Persekutuan kini menyalurkan subsidi elektrik di Sabah berjumlah kira-kira RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun.
“Subsidi ini tidak boleh diteruskan tanpa had. Dengan kenaikan kecil sekitar lima sen ini, ia dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada subsidi Kerajaan Persekutuan,” katanya
Katanya, Kabinet Negeri bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Energy Commission of Sabah (ECoS) dan SE selepas mengambil kira peningkatan kos operasi serta keperluan jangka panjang sektor tenaga di Sabah.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap EXCO Agama negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arifin; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib; dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
