KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang
membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan bagi penangguhan pelaksanaan
Perintah Mahkamah Tinggi untuk menyemak geran khas bagi Tempoh Terlepas (Lost
Years) serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari bagi pembayaran hak Sabah
sebanyak 40 peratus sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan.
“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan akan
diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan Kerajaan
Persekutuan,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan
mengekalkan status quo sehingga rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.
“Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah
Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas [1974
2021], ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa
memandangkan Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta
keperluan untuk mengadakan semakan,” katanya.
Ketua Menteri mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang membantah penangguhan
Perintah Mahkamah Tinggi tersebut, namun menegaskan bahawa kerajaan tetap
menghormati keputusan terbaharu mahkamah.
“Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan Kerajaan Negeri akan terus
berbincang serta mencari penyelesaian,” tegasnya.
Hajiji berkata, Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berhubung hak perlembagaan
Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip, dan Perdana Menteri
Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menghormatinya.
Tarikh tentafif bagi pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan adalah antara 27 hingga
30 Oktober 2026 dan satu e-Review ditetapkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan
tarikh sebenar pendengaran.
