Kota Kinabalu: Kerajaan terus menzahirkan komitmen tinggi terhadap agenda kebajikan sosial melalui penganjuran Majlis Penghargaan Sukarelawan dan Program Pembangunan Kapasiti Sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) Tahun 2025, yang berlangsung selama dua hari bermula pada Khamis di The Palace Hotel, Kota Kinabalu.
Program anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) ini menghimpunkan para petugas dan sukarelawan KBDR dari seluruh pelosok negeri Sabah sebagai simbol penghargaan Kerajaan terhadap sumbangan dan pengorbanan mereka dalam menyantuni golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata bahawa Program KBDR bukan sekadar satu tugasan, malah merupakan satu pengorbanan murni yang melibatkan masa, tenaga dan keikhlasan demi membantu golongan yang memerlukan.
“Majlis ini adalah manifestasi penghargaan Kerajaan terhadap prestasi cemerlang para sukarelawan sepanjang tahun 2025. Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan adalah nadi kepada kejayaan pelaksanaan perkhidmatan kebajikan di peringkat komuniti,” katanya.
Majlis Penghargaan ini turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah khas, antaranya Anugerah Sukarelawan Cemerlang, Anugerah Sukarelawan Komitmen dan Kesetiaan serta Anugerah Penyelaras Sukarelawan Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi luar biasa para sukarelawan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kepentingan Program KBDR sebagai inisiatif strategik dalam menghadapi cabaran negara menua menjelang tahun 2030, di mana sistem sokongan sosial berasaskan komuniti menjadi semakin kritikal.
“Program KBDR bukan sahaja menyediakan bantuan fizikal, malah sokongan emosi, sosial dan psikologi kepada warga emas dan OKU. Inilah nilai sebenar kerja komuniti yang tidak dapat diukur dengan angka semata-mata,” ujar beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.47 juta bagi pelaksanaan Program KBDR di Sabah, melibatkan 252 petugas sukarelawan dan memberi manfaat kepada lebih 1,000 klien, selain peruntukan tambahan bagi penganjuran majlis penghargaan dan program pembangunan kapasiti sukarelawan.
Selain majlis penghargaan, program dua hari ini turut merangkumi Bengkel Pembangunan Kapasiti Sukarelawan KBDR bertemakan “Sukarelawan Berdaya, Komuniti Sejahtera”, yang memberi fokus kepada pemantapan ilmu, etika, kemahiran pengendalian klien serta pengurusan kes, termasuk melibatkan klien yang menghidap penyakit demensia.
Kerajaan yakin bahawa sinergi strategik antara agensi Kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah akan terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kebajikan, seterusnya memastikan kesejahteraan golongan sasar terpelihara secara berterusan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Alijah Ismail, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah; Roshayati Omar, Timbalan Pengarah Persekutuan, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah serta Joeanne Lee, Pengerusi Pelaksana Majlis Penghargaan dan Program Pembangunan Kapasiti Sukarelawan KBDR merangkap Setiausaha Eksekutif MPMS.
