TAWAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sedang mengkaji bentuk bantuan yang bersesuaian bagi membantu pemain industri pelancongan di negeri ini sekiranya krisis tenaga global berpanjangan.
Pembantu Menteri KePKAS, Dr Andi Md Shamsureezal Mohyd Sainal berkata, kementeriannya akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi memperincikan cadangan bantuan yang boleh dilaksanakan.
Menurutnya, langkah awal itu penting sebagai persediaan menghadapi kemungkinan krisis tenaga global berlarutan susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk sektor pelancongan.
“Buat masa ini memang pemain industri turut terkesan. Kementerian sedang mengkaji bentuk bantuan dan dalam masa terdekat kita akan mengadakan perbincangan lebih mendalam mengenai jenis bantuan sekiranya krisis ini berterusan,” katanya.
Beliau menambah, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti secara khusus pemain industri yang terjejas memandangkan subsidi diesel dan petrol di Sabah masih stabil.
Namun, antara bentuk bantuan yang sedang dipertimbangkan termasuk bantuan sekali beri atau “one off” serta cadangan meningkatkan subsidi bahan api kepada pemain industri pelancongan, bergantung kepada situasi semasa.
“Sekarang subsidi diesel dan petrol di Sabah masih seperti biasa, jadi kesannya belum begitu dirasai. Tetapi kita perlu bersedia lebih awal sekiranya keadaan berubah,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Festival Makanan Tradisi Tawau dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat DUN Tanjung Batu yang berlangsung di Dewan Terbuka SMJ Tanjung Batu Darat, di sini, pada Ahad.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin masyarakat sekitar Tawau dan Kalabakan serta lebih 10,000 pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan.
