KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan berhubung isu siasatan skandal perlombongan Sabah disifatkan sebagai bermotif politik dan berpotensi mengganggu integriti proses penguatkuasaan, kata Datuk Jerry Ambuting Mohd Said.
Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia Negeri Sabah itu berkata, tindakan diketuai ADUN Kapayan, Chin Tek Ming menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajar dijadikan medium untuk menekan agensi berkenaan.
“SPRM adalah badan bebas yang menjalankan siasatan berdasarkan fakta dan undang-undang. Sebarang cubaan membentuk persepsi awam atau memberi tekanan terbuka hanya akan menjejaskan kelancaran siasatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Taman Kingfisher Sulaman, dekat sini,hari ini.
Beliau menegaskan, kes berprofil tinggi yang melibatkan ramai individu serta bukti kompleks sememangnya memerlukan masa untuk disiasat secara menyeluruh dan teliti.
Menurutnya, dakwaan kononnya berlaku kelewatan atau ‘pendakwaan terpilih’ tanpa asas kukuh adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.
“Tidak adil untuk membuat kesimpulan awal bahawa ada pihak dilindungi sedangkan siasatan masih berjalan. Kenyataan seperti ini hanya mencetuskan persepsi negatif dan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Jerry turut mempersoalkan motif sebenar Warisan yang terus memainkan isu berkenaan secara terbuka, seolah-olah cuba meraih sokongan politik dengan menimbulkan keraguan terhadap institusi negara.
Katanya, sekiranya benar komited terhadap prinsip integriti dan ketelusan, semua pihak seharusnya memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM menjalankan tugas tanpa gangguan.
“Integriti bukan sekadar slogan. Ia menuntut kita menghormati proses undang-undang dan tidak memanipulasi isu untuk kepentingan politik sempit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar isu rasuah tidak dijadikan bahan polemik yang berpanjangan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, khususnya di Sabah.
“Rakyat mahukan keadilan yang telus dan tuntas. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya.
