KOTA KINABALU: Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan seorang senator Filipina yang disifatkan biadab, tidak bertanggungjawab dan mencabar kedaulatan Malaysia.
Beliau menegaskan, kenyataan oleh Robin Padilla yang menggesa tuntutan semula ke atas Sabah bukan sahaja tidak berasas, malah merupakan satu bentuk provokasi terbuka yang boleh menggugat keamanan serantau.
“Ini bukan sekadar kenyataan tidak masuk akal, tetapi satu penghinaan terhadap kedaulatan negara. Sabah bukan wilayah yang boleh dipersoalkan atau dijadikan bahan retorik politik murahan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan tegas, hari ini.
Jerry berkata, cadangan menghantar wakil rasmi atau pasukan ke Sabah sebagai simbol tuntutan adalah tindakan melampau yang tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah.
“Jika benar ada usaha sedemikian, ia bukan sahaja melanggar norma diplomatik antarabangsa, malah boleh dianggap sebagai tindakan mencabar keselamatan dan kedaulatan negara,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah telah menjadi sebahagian sah dalam Persekutuan Malaysia sejak 1963 melalui proses yang sah dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk melalui Suruhanjaya Cobbold.
“Tiada ruang untuk mana-mana pihak menghidupkan semula tuntutan lapuk yang sudah lama ditolak. Sejarah dan undang-undang antarabangsa jelas memihak kepada Malaysia,” katanya.
Dalam nada lebih keras, Jerry menyifatkan alasan bahawa Sabah perlu ‘dirampas’ kerana kekayaan sumber sebagai hujah dangkal, tamak dan tidak beretika.
“Ini menunjukkan mentaliti penjajahan yang sudah lapuk. Tidak ada mana-mana negara berhak menuntut wilayah negara lain hanya kerana faktor sumber asli,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Filipina di bawah pimpinan Ferdinand Marcos Jr. supaya segera mengambil pendirian jelas dan mengekang kenyataan tidak bertanggungjawab dalam kalangan pemimpin mereka.
“Kerajaan Filipina perlu bertindak tegas terhadap kenyataan seperti ini. Jangan biarkan ia merosakkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara,” katanya.
Jerry turut memberi amaran bahawa rakyat Sabah tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan mempertikaikan kedaulatan negeri itu.
“Sabah adalah milik Malaysia, titik. Kedaulatan ini akan dipertahankan habis-habisan oleh rakyat dan seluruh jentera keselamatan negara,” katanya.
Terdahulu, Robin Padilla mencetuskan kontroversi apabila menggesa presidennya menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, termasuk mencadangkan penghantaran wakil sebagai simbol tindakan.
Untuk rekod, Sabah kekal sebagai wilayah berdaulat Malaysia sejak pembentukan negara pada 1963 dan kedudukannya tidak pernah berubah walaupun berdepan tuntutan luar.
