KOTA KINABALU: Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, membidas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang mempersoalkan tindakan Peguam Negara berhubung pendakwaan kes kemalangan maut, sambil menyifatkannya sebagai mengelirukan dan tidak berpaksikan kefahaman undang-undang yang menyeluruh.
Beliau berkata, dakwaan kononnya berlaku “ketidakkonsistenan” dalam tindakan pendakwaan antara dua kes berasingan adalah tidak wajar kerana setiap kes mempunyai fakta, bukti dan keadaan yang berbeza.
“Perlu difahami bahawa setiap kes jenayah dinilai berdasarkan keterangan, tahap kecuaian, niat serta elemen undang-undang yang berkaitan. Tidak semua kes kemalangan maut boleh disamakan atau ditafsir secara umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Jerry menegaskan keputusan untuk mendakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa serta pertimbangan profesional Jabatan Peguam Negara.
“Cubaan membandingkan dua kes berbeza secara langsung tanpa memahami keseluruhan fakta hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, sekali gus boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem perundangan negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam kes di Klang yang dirujuk Rayer, ia masih di peringkat perbicaraan dan belum diputuskan oleh mahkamah, manakala satu lagi kes di Batu Gajah pula dilaporkan masih dalam siasatan.
Sehubungan itu, katanya, adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan awal atau mempertikaikan integriti institusi perundangan sebelum proses keadilan disempurnakan.
“Sebagai ahli Parlimen, Rayer seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama yang melibatkan sensitiviti undang-undang dan persepsi awam terhadap badan kehakiman serta institusi pendakwaan,” katanya.
Dalam masa sama, Jerry turut menegaskan bahawa isu pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol perlu ditangani secara tegas tanpa mengira latar belakang, namun ia tidak harus dipolitikkan atau dijadikan bahan polemik yang boleh mencetuskan salah faham.
Beliau berkata, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya serta memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan profesional tanpa tekanan atau spekulasi,” katanya.
