KOTA KINABALU: Mantan Pengerusi Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said mengkritik keras kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menggesa Perdana Menteri menasihati Peguam Negara agar tidak menggunakan kuasa budi bicara secara “sewenang-wenangnya”.
Menurut Jerry, gesaan sedemikian bukan sahaja tidak wajar, malah berpotensi mencetuskan persepsi campur tangan politik terhadap institusi perundangan negara yang seharusnya bebas dan dihormati selaras dengan prinsip pengasingan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai seorang ahli Parlimen dan peguam, Hassan sepatutnya lebih memahami bahawa kuasa budi bicara Peguam Negara adalah termaktub dalam Perlembagaan. Ia bukan soal ‘sewenang-wenangnya’, tetapi dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan proses kehakiman yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jerry menegaskan, tindakan membawa isu tersebut ke ruang awam dengan menekan Perdana Menteri agar ‘menasihati’ Peguam Negara boleh disalah tafsir sebagai cubaan mempengaruhi keputusan undang-undang, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kebebasan sistem keadilan negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata permohonan semakan semula oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah Peraturan 137 Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 adalah mekanisme undang-undang yang sah dan tersedia, bukannya suatu tindakan luar biasa seperti yang digambarkan.
“Peraturan itu sendiri diwujudkan bagi mencegah ketidakadilan atau penyalahgunaan proses. Maka, adalah tidak adil untuk terus melabelkan langkah AGC sebagai memalukan atau bercanggah dengan reformasi tanpa menunggu proses mahkamah berjalan,” katanya.
Jerry turut menyifatkan hujah Hassan yang mengaitkan tindakan AGC dengan janji reformasi institusi kerajaan sebagai bersifat politik dan simplistik, seolah-olah setiap tindakan perundangan perlu selari dengan sentimen atau pendirian politik semasa.
“Reformasi institusi tidak bermaksud melemahkan peranan Peguam Negara atau menghalang penggunaan saluran undang-undang yang sah. Reformasi sebenar ialah memastikan semua pihak, termasuk aktivis dan ahli politik, tunduk kepada kedaulatan undang-undang,” tegasnya.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa sebarang kemungkinan menghidupkan semula pertuduhan terhadap aktivis hak asasi manusia boleh dianggap sebagai ‘double jeopardy’, sambil menjelaskan bahawa perkara tersebut hanya boleh diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan persepsi awam.
Sehubungan itu, Jerry menggesa semua ahli politik agar lebih berhemah dalam mengulas isu perundangan, khususnya yang masih dalam proses mahkamah, bagi mengelakkan kekeliruan rakyat serta menjaga kewibawaan institusi kehakiman negara.
“Negara ini dibina atas prinsip kedaulatan undang-undang. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai mencetuskan naratif yang melemahkan institusi penting negara demi kepentingan politik jangka pendek,” katanya.
