SEMPORNA: Kenaikan harga petrol serta pelaksanaan had pembelian minyak menggunakan tong dilihat memberi kesan langsung kepada pengusaha pelancongan di daerah ini yang bergantung kepada pengangkutan laut.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna PUSPABUMI, Madzafar MadZahala berkata, bahan api merupakan keperluan utama bagi operasi harian termasuk aktiviti island hopping dan pemindahan pelancong.
Menurut beliau, peningkatan kos minyak akan menambah beban operasi pengusaha, manakala had pembelian pula menyukarkan aspek perancangan logistik terutama bagi pengusaha kecil dan sederhana.
Katanya, situasi tersebut berpotensi menyebabkan kenaikan harga pakej pelancongan secara berperingkat selain menjejaskan daya saing industri pelancongan tempatan.
“Selain itu, pengusaha bot dan agensi pelancongan turut berdepan tekanan kewangan yang semakin meningkat, sekali gus boleh menjejaskan pengalaman pelancong sekiranya berlaku kekangan operasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam masa sama mencadangkan agar pihak berkepentingan mempertimbangkan mekanisme sokongan atau kelonggaran khas kepada pengusaha pelancongan, khususnya di kawasan yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan laut seperti Semporna.
Tambahnya, satu penyelesaian seimbang perlu dicapai bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan serta kesejahteraan pemain industri terus terpelihara di Sabah dan seluruh negara.
