KINABATANGAN: Kelewatan hampir 10 peratus Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej Kerja 1A menimbulkan kebimbangan Kementerian Kerja Raya apabila kemajuan fizikal sebenar hanya mencapai 86.53 peratus berbanding sasaran asal 96.24 peratus.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata kelewatan berkenaan tidak boleh diterima walaupun tiada sebarang isu berkaitan pembayaran kewangan kerana bayaran dibuat selari dengan kemajuan fizikal projek.
Menurut beliau, daripada keseluruhan 15 pakej kerja di bawah Pakej Kerja 1A, hanya empat pakej telah siap sepenuhnya manakala baki 11 pakej lagi masih ketinggalan dan perlu dipercepatkan segera.
“Saya juga tidak puas hati 10 peratus kebelakang Pakej 1A. Of course saya tidak puas hati. Dan kami maksud saya tu kami lah, kami di JKR tidak puas hati. Pakej 1A yang sepatutnya 96.24 peratus tetapi sebenar 86.53 peratus. Itu memang kami tidak puas hati walaupun empat pakej daripada 15 sudah siap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Kinabatangan pagi tadi.
Lawatan berkenaan merupakan Program Turun Padang pertama beliau bagi tahun 2026 yang melibatkan Pakej Kerja 25 dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau serta Pakej Kerja 26 dari Sukau ke Kampung Lot M.
Ahmad turut memaklumkan setakat ini tiada kontraktor yang ditamatkan perkhidmatan namun beberapa syarikat telah diberikan amaran dan peringatan agar segera mempercepatkan pelaksanaan projek.
“Sekarang ini tidak ada yang kita tamatkan. Tidak ada. Tetapi yang kita bagi amaran, bagi ingatan itu ada beberapa syarikat. Kita akan terus melakukan perkara itu. Rakyat menunggu lama, jadi kita pun kenalah menyegerahkan segalanya,” katanya.
Kerajaan berharap baki Pakej Kerja 1A dapat disiapkan dengan lebih pantas manakala pelaksanaan Pakej Kerja 1B tidak mengulangi kelewatan sama selaras usaha meningkatkan keselamatan, kesalinghubungan serta pertumbuhan ekonomi di Kinabatangan dan Sabah secara keseluruhan.
