LAHAD DATU: Dalam kemeriahan bulan Ramadan dan keterujaan umat Islam menanti kedatangan Syawal, golongan orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta asnaf terus diberi perhatian melalui pelbagai program kebajikan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah melaksanakan jelajah kebajikan ke 13 lokasi di seluruh negeri bagi menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri berkata program seumpama itu bertujuan menyemarakkan kegembiraan dalam kalangan golongan OKU dan anak yatim, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, sambutan yang diterima daripada komuniti amat menggalakkan dan jelas terpancar kegembiraan pada wajah penerima manfaat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis iftar kebajikan yang diadakan di Rumah Sinar Pelangi Lahad Datu pada Rabu.
Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Silam, Datuk Mizma Appehdullah menyambut baik penganjuran program tersebut dan berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada pusat jagaan yang menempatkan golongan kurang upaya.
Beliau berkata antara keperluan yang mendesak ketika ini ialah pembinaan ruang khas untuk wanita di pusat jagaan tersebut bagi memastikan keselesaan dan kebajikan penghuni lebih terjamin.
Katanya, ketika ini kemudahan sedia ada masih digunakan secara bersama oleh lelaki dan wanita, justeru sokongan daripada NGO, jabatan kerajaan serta agensi berkaitan amat diperlukan bagi merealisasikan pembinaan ruang khas berkenaan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Yusleena Datuk Mohd Yusof.
