TAMBUNAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Patau, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.08 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.26 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah jenis separuh kekal serta tiga buah kenderaan.
Komander Operasi melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan ditemui rentung di dalam sebuah bilik sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi mangsa, wanita berusia 31 tahun, mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, menggunakan sumber air daripada jentera dan pili bomba berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.40 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
Kebakaran tersebut memusnahkan sebuah rumah satu tingkat jenis separuh kekal sepenuhnya, manakala sebuah lagi rumah jenis sama terbakar kira-kira 90 peratus. Tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Avanza, sebuah van dan sebuah Perodua Alza turut musnah dalam kejadian itu.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
