SANDAKAN: Tujuh individu dewasa termasuk tiga warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Pengemis dan Orang Kurang Siuman yang dijalankan di sekitar Bandar Sandakan, hari ini.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak Hospital serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurut MPS, daripada jumlah individu yang ditahan, empat adalah warganegara Malaysia manakala selebihnya merupakan bukan warganegara.
Operasi ini bertujuan menangani isu pengemisan serta individu kurang siuman yang berkeliaran di kawasan awam, sekali gus memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat terpelihara.
“MPS komited untuk meneruskan operasi penguatkuasaan secara berkala dan bersepadu bagi mengekang masalah sosial ini serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat dan kondusif,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut digalakkan untuk menyalurkan aduan dan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan awal terhadap sebarang isu berkaitan pengemisan dan keselamatan awam.
