KOTA KINABALU: Jelajah ‘Beauty With a Purpose’ Sabah 2026 yang menghadirkan Miss World 2025, Opal Suchata dan Miss World Malaysia 2025, Taanusiya Chetty ke negeri ini melihat sendiri usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kehidupan rakyat negeri ini.
Selama lima hari berada di Sabah, bermula pada 5 Februari hingga 10 Februari, jelajah delegasi itu turut memberi inspirasi dan sinar harapan yang penting kepada pelajar universiti, golongan orang kurang upaya (OKU), pendidik, pesakit dan pekerja kesihatan di hospital, masyarakat kampung serta sukarelawan yang menjalankan kerja sosial di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HyperLive Entertainment, Dr Sean Wong selaku pemilik francais Miss World Malaysia, menyifatkan jelajah itu juga berjaya mencapai misinya dalam membawa sesuatu yang bermanfaat kepada Sabah atas inisiatif golongan wanita muda, khususnya Miss World.
Pihaknya turut menzahirkan penghargaan yang mendalam terhadap kecekapan pentadbiran negeri dan masyarakat negeri ini yang disifatkannya memiliki semangat serta budaya belas ehsan yang kuat.
Jelajah itu juga katanya melihat bagaimana kepimpinan negeri dan rakyat membina persekitaran yang menyaksikan aktiviti pelancongan terus berkembang, sambil pada masa yang sama kebajikan penduduk dijaga dengan baik.
“Sepanjang lawatan, pasukan jelajah menyaksikan sendiri bagaimana kemajuan Sabah dipandu oleh kepimpinan yang komited, organisasi komuniti yang aktif dan berkongsi rasa tanggungjawab dalam kalangan warganya untuk meningkatkan kehidupan antara satu sama lain.
“Misi ‘Beauty With A Purpose’ direka untuk memberi inspirasi, dorongan dan melengkapi kerja kuat yang sudahpun dilaksanakan oleh agensi kerajaan, institusi pendidikan, hospital, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin komuniti untuk membawa bersama orang muda, rakan dan sukarelawan menyumbang secara positif dengan cara mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan sempena berakhirnya jelajah itu, di sini, pada Rabu.
Delegasi Miss World itu turut disertai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Miss World, Julia Morley CBE.
Sean menyifatkan usahanya membawa Morley dan Miss World ke Sabah adalah satu ‘privillages’ kepadanya untuk memperlihatkan usaha yang dijalankan pelbagai pihak di negeri ini dalam membantu meningkatkan kehidupan masyarakat.
“Beauty With A Purpose adalah mengenai memberi inspirasi kepada hati, mendorong orang muda dan membawa bersama rakan yang mengambil peduli.
“Sabah adalah negeri yang ditadbir dengan visi dan belas ehsan yang mana pemimpin, komuniti dan institusi bekerja bersama-sama. Adalah menjadi keistimewaan untuk membawa Morley dan Miss World ke Sabah untuk menyaksikan semangat dan memainkan peranan kecil memberi inspirasi kepada usaha kolektif yang mengangkat kehidupan dan mengukuhkan kebaikan sosial,” katanya.
Beliau menjelaskan, selama lima hari di negeri ini, delegasi itu sempat berkunjung ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) atau Hospital Likas untuk menceriakan pesakit kanser kanak-kanak dan menyatakan penghargaan atas dedikasi pasukan perubatan.
Katanya, delegasi juga melawat Persatuan Autisme Sabah, di mana Morley mengulangi sokongannya atas kemajuan dan kekuatan kepimpinan yang dicapai sejak memberikan sumbangan sebanyak USD10,000 pada 2024.
Selepas melihat perkembangan program, inisiatif pembelajaran luar dan hasil positif untuk kanak-kanak autistik, Morley katanya menyatakan sumbangan sebanyak RM300,000 lagi untuk pembangunan sekolah baharu dengan fasiliti lebih baik.
“Komitmen ini dibuat sebagai sokongan terhadap inisiatif sedia ada yang dilaksanakan pihak kerajaan dan komuniti, yang mengakui bahawa kerja kemanusiaan paling berkesan melalui tindakan secara kolektif.
“Delegasi turut melawat ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kota Kinabalu, di mana pelajar pekak dan berkeperluan khas membuat persembahan dengan yakin dan bangga.
“Melihat bakat mereka dan dedikasi pendidik, Morley menyatakan sumbangan USD5,000 untuk menyokong pengembangan program dan sumber pendidikan sebagai sokongan terhadap usaha sedia ada daripada kerajaan bagi memantapkan lagi peluang untuk pelajar,” katanya.
Selain itu, katanya delegasi Miss World turut dibawa ke University College Sabah Foundation (UCSF), the Miss World sebagai inspirasi kepada pelajar terhadap kerja sosial yang dilaksanakan golongan muda, termasuk wanita cantik yang menjadi imej Miss World.
“Di UCSF, Naib Canselornya, Datuk Dr Rafiq Idris menyatakan aspirasi universiti itu untuk membina kerjasama jangka panjang dengan Pertubuhan Miss World bagi membangunkan ‘Beauty With A Purpose’ sebagai landasan mampan menghubungkan pendidikan dengan tindakan kemanusiaan,” katanya.
Tidak ketinggalan Sean berkata, delegasi Miss World turut melawat Kampung Dambai dan kawasan komuniti luar bandar yang lain menerusi kolaborasi dengan pertubuhan kebajikan tempatan, Persatuan Kebajikan Dan Usahawan Tavan Sabah yang misinya bekerja rapat dengan inisiatif komuniti dan awam sedia ada.
Jelasnya, ia adalah antara program jangkauan luar untuk mendekati kanak-kanak dan keluarga menerusi perbualan, dorongan dan pengagihan keperluan asas kepada golongan berkenaan.
“Sesi libat urus itu direka untuk melengkapi usaha sedia ada oleh kerajaan dengan menawarkan motivasi dan sokongan moral tambahan, sambil menjaga maruah, kebajikan dan rasa hormat kepada keluarga yang terlibat.
“Melalui pendekatan kolaborasi ini, lawatan itu berusaha memberi inspirasi, mengukuhkan hubungan komuniti dan menggalakkan hubungan positif di antara platform kemanusiaan antarabangsa dan inisiatif tempatan, menyumbang kepada kemampanan dan kesejahteraan jangka panjang komuniti,” katanya.
Tidak ketinggalan, katanya delegasi jelajah itu turut berkesempatan menyertai acara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di monumen bersejarah Menara Jam Atkinson sebagai simbolik perkongsian kepercayaan bahawa warisan dan alam mesti dilindungi untuk generasi akan datang.
Pada akhir jelajah, delegasi diketuai Sean turut berpeluang mengadakan kunjungan hormat terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu sebagai tanda penghormatan dan penghargaan terhadap institusi tertinggi negeri dalam membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.
