KOTA KINABALU, 11 April 2026: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyeru warga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah supaya terus mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata, komitmen, kesungguhan serta kerjasama padu dalam kalangan warga kerja merupakan teras utama dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kekal berkualiti, cekap dan berkesan.
Beliau membuat seruan ini ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sanjungan Budi 2025/2026 JPS di sini, malam tadi.
Jamawi turut berkongsi pengalaman hasil lawatan ke beberapa lokasi baru-baru ini, termasuk ke kawasan jelapang padi di Trusan Sapi, Telupid serta di Kota Belud.
“Pada 9 Februari lalu, saya telah menegur dan memberikan arahan kerja kepada syarikat pengusaha serta pegawai dibawah MAFFI,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada JPS kerana telah dapat menyusun atur semula keperluan teknikal projek pengairan sawah padi terusan sapi yang sedang di laksanakan.
“Saya sentiasa menasihatkan semua kakitangan supaya memahami keadaan pelanggan kita, khususnya golongan petani yang berdepan pelbagai kesukaran,” katanya.
Sehubungan itu, Jamawi menyeru semua kakitangan JPS agar turun ke lapangan bagi melihat sendiri permasalahan yang dihadapi oleh para petani.
“Saya minta jurutera turun ke lapangan, sehingga saya sendiri terpaksa menghantar tangkap layar (screenshot) kepada pengarah melalui telefon,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa mesyuarat berkaitan pembangunan pertanian wajar diadakan di lokasi projek bagi membolehkan pemahaman yang lebih jelas terhadap situasi sebenar.
“Inilah hakikat kerja dalam sektor pertanian. Jika takut panas boleh memilih kerjaya lain yang tidak perlu selalu ada di lapangan,” tegasnya.
Menurutnya, pengalaman di Trusan Sapi perlu dijadikan anjakan paradigma dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Seruan tersebut bukan sahaja ditujukan kepada warga JPS, malah termasuk semua warga di jabatan dan agensi MAFFI.
Dalam pada itu, Jamawi turut mencadangkan penubuhan Unit Komunikasi Korporat (UKK) di peringkat kementerian dan jabatan bagi memantau perkembangan di media sosial serta menyalurkan maklumat tepat kepada warga kerja sebelum tindakan susulan diambil di lapangan.
Pada majlis berkenaan, seramai 34 penerima menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 25 pesara bagi tempoh Julai 2025 hingga Julai 2026 menerima penghargaan Sanjungan Budi.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima anugerah serta jawatankuasa penganjur yang memastikan kelancaran majlis.
“Syabas dan tahniah kepada semua penerima. Semoga terus menyumbang kepada peningkatan prestasi jabatan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, majlis berkenaan bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat bakti warga kerja sepanjang melaksanakan amanah, di samping menjadi pemangkin untuk meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
Katanya, pengiktirafan tersebut juga menjadi platform untuk menyemarakkan semangat serta motivasi kakitangan agar terus berusaha mencapai kecemerlangan.
“Dalam kita bekerja, mungkin ada teguran yang diberikan. Anggaplah ia sebagai panduan untuk memperbaiki pelaksanaan tugas di lapangan. Insya-Allah, hasil usaha yang berterusan akan membawa kepada pengiktirafan kepada semua,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jumain Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, Ir. Haji Siraja Haji Bashora; Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Noraidah Matnoor; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Nekmah Abdullah; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan Data), Shariffah Aznoor Jap; Timbalan Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan) JPS Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Fadzilah Abdul Ghani; serta Timbalan Pengarah (Sektor Pakar) merangkap Presiden Kelab Sukan dan Hiburan JPS Sabah, Miklin Ationg.
