TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi merasmikan Pertandingan Tarian Naga dan Singa anjuran Persatuan Yung Yee Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, hari ini.
Jamawi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada persatuan berkenaan yang diketuai Pengerusinya, Tay Kok Kiong serta Pengerusi Penganjur, Chang Pei Pei atas jemputan merasmikan majlis tersebut.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seramai 140 peserta daripada 14 persatuan dari seluruh Sabah yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.
Antara daerah yang terlibat ialah Tenom, Keningau, Penampang, Kota Kinabalu, Sandakan, Beaufort, Membakut, Inanam dan Papar.
“Pertandingan ini merupakan kali kedua dianjurkan selepas lapan tahun lalu.
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada masyarakat di Tenom untuk menyaksikan kehebatan pemain-pemain tarian singa dari seluruh pelusuk negeri Sabah,” katanya.
Jamawi turut memaklumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan program selama tiga hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 13 hingga 15 Februari ini di Maleh Square.
Katanya, pelbagai pengisian program telah dirancang termasuk gerai jualan, pertandingan mewarna dan melukis untuk kanak-kanak serta aktiviti lain.
“Saya menjemput semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada 13, 14 dan 15 Februari ini,” ujarnya.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin serta beberapa lagi Kapitan Cina.
