KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah di Padang Merdeka, di sini, pada Isnin.
Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, tiba pada jam 7.55 pagi sebelum menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebaik naik ke pentas utama.
Istiadat penuh adat dan tradisi itu mencapai kemuncak dengan keberangkatan tiba TYT Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin pada jam 8 pagi.
Sebaik tiba, lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dimainkan diikuti tembakan meriam 17 das sebagai tanda penghormatan, sebelum TYT menerima tabik hormat diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama.
Beliau kemudiannya berkenan memeriksa kontinjen perbarisan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik, institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah.
Istiadat turut diserikan dengan persembahan koir serta persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah sempena sambutan ulang tahun rasmi berkenaan.
Pelbagai dif kenamaan termasuk anggota Kabinet Negeri dan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta ketua jabatan hadir memeriahkan istiadat berkenaan.
