KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menekankan pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur dan kelestarian hijau sebagai teras utama SMJ 2.0.
Beliau berkata, pembangunan modal insan diberi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM164.01 juta, termasuk peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian dan literasi kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, SMJ 2.0 juga meneruskan bantuan pendidikan, termasuk 14 jenis bantuan pendidikan bernilai RM203.4 juta dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025.
Katanya, seramai 480,000 pelajar menerima manfaat bantuan pendidikan kerajaan, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) untuk permohonan biasiswa dan kemasukan perkhidmatan awam.
“Program Rumah Mesra SMJ telah dapat dimanfaatkan oleh seramai 7,482 penerima dan diteruskan dengan 50 unit setiap kawasan DUN tahun ini, khusus untuk golongan miskin, miskin tegar dan pasangan muda baru berkahwin.
“Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta pada tahun ini, selari bantuan kerajaan persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah”, “, katanya pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Jumaat.
Hajiji berkata, dibawah teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, sejumlah RM6.8 bilion diperuntukkan dibawah RMK-13 bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga lestari, termasuk projek strategik seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan dan naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik dan projek OTEC, hidroelektrik serta penjanaan tenaga biru.
Menurutnya, kerajaan turut memperluas infrastruktur digital melalui Pusat e-Desa, VSAT dan Starlink, selari agenda kerajaan digital berteraskan AI.
Dalam aspek kelestarian hijau, beliau berkata, sejumlah RM672.05 juta diperuntukkan bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas perubahan iklim, dengan sasaran 30% Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menjelang 2030.
Katanya, Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0, merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, serta pemanfaatan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar.
Hajiji berkata, Kerajaan memperkenalkan Blue Financing melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan Maybank untuk penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, dengan jumlah permulaan RM300 juta, bagi memudahkan syarikat-syarikat terlibat, mendapat kemudahan kewangan.
Hajiji menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada penjawat awam sebagai nadi utama pelaksanaan dasar. Kecekapan, integriti dan disiplin menentukan sejauh mana pembangunan diterjemah kepada hasil yang dirasai rakyat.
Beliau juga menegaskan kerajaan negeri tidak akan kembali kepada pendekatan lama, malah keputusan yang diambil adalah demi kepentingan jangka panjang Sabah walaupun kadangkala tidak popular.
“Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama, memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan, dan pendapatan negeri diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat sekarang dan generasi akan datang,” katanya.
