KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Datuk Robert, menyatakan sokongan padu terhadap usaha memperkasa industri filem tempatan dengan menghadiri Tayangan Filem Pendek Sabah yang dianjurkan SAFVA dan CineBah di The Dotters Space, Bandar Baru Keningau, pada 1 April lalu.
Program berkenaan berjaya menarik kehadiran lebih 50 penonton dari sekitar daerah ini yang hadir bagi menyaksikan pelbagai karya kreatif dan berkualiti hasil sentuhan penggiat seni tempatan.
Rafie berkata, penganjuran program seumpama itu amat signifikan dalam membuka ruang kepada bakat baharu untuk menonjolkan hasil karya mereka, sekali gus memperkukuh ekosistem industri kreatif di Sabah.
“Platform seperti ini perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada penggiat seni tempatan berkarya, malah membantu mengetengahkan identiti dan budaya Sabah melalui medium filem.
“Saya berharap industri filem di Sabah akan terus berkembang maju serta melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu mengangkat karya tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan industri kreatif negeri ini terus berdaya saing.
Katanya, usaha memperkasa industri filem bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan seni dan budaya, malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penghasilan kandungan kreatif berkualiti.
