KENINGAU: Program Imarah Madani dan Majlis Berbuka Puasa Perdana yang diadakan di Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Islam sekitar Bingkor, sekali gus menyemarakkan lagi suasana Ramadan dengan pengisian ilmiah dan kerohanian.
Program anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor itu bertujuan memperkukuh penghayatan nilai Malaysia Madani di samping memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis berkenaan turut diisi dengan sesi ceramah agama dan kenegaraan yang disampaikan Jurulatih AKM, Mohd Faiz Quzairi; Sahabat Penggerak Madani (SPM) Negeri Sabah, Abdul Ghani Haji Kaji; serta Ketua Unit Masjid dan Surau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Daerah Keningau, Ustaz Mohd Nizam Yahya.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada AKM atas pemilihan masjid berkenaan sebagai lokasi penganjuran program Imarah Madani.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu amat signifikan dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap konsep Malaysia Madani, selain mengeratkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan umat Islam.
“Terima kasih kepada seluruh masyarakat Islam yang hadir serta memberikan sokongan padu bagi menjayakan program ini. Kehadiran ramai membuktikan komitmen komuniti dalam mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan,” katanya.
Selain majlis berbuka puasa, program diteruskan dengan solat fardu Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah, sekali gus menyemarakkan lagi penghayatan ibadah dalam suasana penuh harmoni dan keinsafan.
Majlis berakhir dengan tertib serta semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan jemaah, mencerminkan komitmen berterusan masyarakat Bingkor dalam mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah.
