LAHAD DATU – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kini meneroka penggunaan ilmu falak sebagai pendekatan baharu dalam pengajaran dakwah di semua kampus institut itu di seluruh negara.
Pengarah Kanan ILIM, Ustazah Nor Safina Zainal berkata, pendekatan tersebut memberi ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami hubungan manusia dengan alam sekali gus menyedari kebesaran dan keagungan ciptaan Allah.
Menurutnya, ilmu falak bukan sekadar berkaitan dengan cerapan anak bulan bagi menentukan permulaan Ramadan atau Syawal, sebaliknya ia merangkumi pemahaman yang lebih luas mengenai alam semesta dan keteraturannya sebagai tanda kebesaran Tuhan.
“Ilmu falak ini bukan sekadar kita nak melihat anak bulan untuk hari raya dan puasa saja, tetapi ia berkaitan dengan alam keseluruhan serta keteraturan alam yang Allah jadikan untuk manusia tadabbur.
“Daripada situ kita boleh membina kekuatan dalaman atau inner strength sebagai manusia, supaya lahir sebagai insan yang kuat bukan hanya pada apa yang dilihat dari luar, tetapi juga dari sudut dalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ILIM Outreach Jejak Ilmu Falak dan Fenomena Alam di Kampung Bakapit, Lahad Datu, petang semalam.
Program tersebut disertai lebih 200 penduduk kampung yang bersama sama berbuka puasa sebelum menyertai aktiviti cerapan Gerhana Bulan Penuh serta ceramah dakwah berkaitan fenomena alam berkenaan.
Program berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama kakitangan ILIM Bangi, Kundasang dan Besut.
Turut hadir Pengarah ILIM Lahad Datu, Ustaz Mizzuan Jafilus.
