KOTA KINABALU: Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said menyifatkan pendirian Kerajaan Negeri yang menghormati keputusan Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagai langkah matang, berhemah dan berpaksikan kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, kenyataan tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang tetap menghormati keputusan mahkamah walaupun tidak bersetuju dengan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi membuktikan komitmen kerajaan dalam mempertahankan hak Sabah melalui saluran sah.
“Pendekatan ini mencerminkan kematangan kepimpinan negeri yang tidak emosional, sebaliknya berpegang kepada prinsip perundangan sambil terus memperjuangkan hak Sabah secara konsisten dan berstrategi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jerry berkata keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah terdahulu adalah bersifat prosedural semata-mata dan tidak menjejaskan asas tuntutan Sabah, termasuk semakan geran khas bagi Tempoh Terlepas (Lost Years).
Katanya, penjelasan Ketua Menteri bahawa penangguhan itu hanya mengekalkan status quo sehingga rayuan didengar memberi isyarat jelas bahawa kedudukan undang-undang negara kekal utuh dan tidak terhakis.
Sehubungan itu, beliau menyokong penuh gesaan agar rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan diteruskan dengan semangat kerjasama serta niat baik bagi mencapai penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.
“Rundingan ini amat penting bagi memastikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan di Sabah, dapat direalisasikan secara berperingkat, tanpa menjejaskan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kegagalan Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini serta jaminan Perdana Menteri untuk menghormatinya adalah perkembangan positif yang perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam proses rundingan.
“Ini memberi asas kukuh kepada Sabah untuk terus berunding dalam kedudukan yang lebih meyakinkan, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Jerry turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan jangka panjang negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Ini bukan isu politik kepartian, sebaliknya soal hak negeri yang perlu ditangani secara profesional, berfakta dan berlandaskan undang-undang,” katanya.
Beliau yakin dengan pendekatan terbuka Kerajaan Negeri serta komitmen Kerajaan Persekutuan, penyelesaian terbaik dapat dicapai dalam tempoh rundingan yang ditetapkan, sekali gus memberi manfaat besar kepada pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyatnya.
Terdahulu, Ketua Menteri menegaskan Kerajaan Negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi, sambil menyatakan bahawa proses rundingan akan terus dipergiat bagi mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari.
