KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menegaskan Ketua Menteri (KM), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghormati keputusan Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah, namun tidak pernah akur secara membuta tuli terhadap keputusan itu.
Beliau berkata, tindakan segelintir pihak yang menuding jari kepada KM susulan keputusan berkenaan adalah tidak berasas dan bermotifkan kepentingan politik sempit.
Menurutnya, Hajiji secara jelas menyatakan pendirian bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu dihormati, namun pada masa sama beliau membantahnya dan akan terus berusaha memastikan proses rundingan berkaitan tuntutan tersebut diteruskan.
“Pendekatan diambil KM adalah jelas dan konsisten, iaitu menghormati keputusan mahkamah sebagai prinsip undang-undang, tetapi dalam masa sama mempertahankan hak Sabah melalui saluran rundingan,” katanya, hari ini.
Aksyah menjelaskan, keputusan penangguhan oleh Mahkamah Rayuan itu hanya melibatkan sebahagian kecil perkara yang masih perlu dimuktamadkan dan tidak menjejaskan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan perlu tampil memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat Sabah berhubung tempoh penangguhan berkenaan serta pelan tindakan bagi melaksanakan tuntutan tersebut.
“Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab penuh untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai jarak masa penangguhan dan langkah susulan bagi memastikan tuntutan 40 peratus ini direalisasikan,” katanya.
Beliau juga menyifatkan tindakan menyalahkan KM sebagai cubaan sia-sia yang menggambarkan ketandusan isu dalam kalangan pihak tertentu, khususnya penyokong pembangkang.
Katanya, sebagai pembangkang, mereka seharusnya menyokong usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sabah, bukannya mengkritik secara tidak konstruktif.
“Mereka tidak sepatutnya ‘menikam dari belakang’ dan menambah tekanan terhadap situasi yang sudah sedia sensitif dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya.
Aksyah turut menegaskan bahawa pendirian Hajiji adalah jelas tanpa sebarang keraguan, iaitu menghormati keputusan mahkamah, namun tetap membantah dan akan meneruskan rundingan demi kepentingan rakyat negeri ini.
“Ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan hak Sabah terus diperjuangkan melalui saluran yang sah dan berkesan,” katanya.
