KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik@Charles, menyokong saranan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menghulurkan sumbangan bagi menyokong inisiatif Dapur Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau berkata, inisiatif berkenaan amat bertepatan dalam membantu meringankan beban mahasiswa, khususnya pelajar kurang berkemampuan dari luar bandar yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan harga makanan.
“Program Dapur Siswa bukan sahaja menyediakan keperluan asas makanan kepada pelajar, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri serta pihak universiti terhadap kebajikan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yazid yang juga Pengerusi Perhubungan Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) Daerah Keningau turut memuji komitmen Datuk James Ratib yang bukan sahaja menggerakkan sokongan awal beberapa GLC di bawah kementeriannya, malah menyumbang secara peribadi sebanyak RM30,000 bagi memastikan kelangsungan program berkenaan.
Menurutnya, tindakan tersebut wajar dijadikan contoh dan pemangkin kepada lebih banyak GLC serta syarikat berkemampuan untuk bersama-sama memainkan peranan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kebajikan mahasiswa.
Beliau turut menyokong usaha memperluaskan pelaksanaan Dapur Siswa ke kampus UMS Labuan dan UMS Sandakan agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh pelajar di seluruh Sabah.
“Inisiatif seperti ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negeri dan wajar mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak,” katanya.
