SANDAKAN: Sebuah gerai makan jenis tidak kekal di kawasan Taman Mesra terbakar dalam satu kejadian tengah hari tadi.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.13 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 1.18 petang dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah gerai makan jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 20×30 kaki yang terbakar sekitar 20 peratus.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada jentera bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.21 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.19 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
Menurutnya lagi, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi pemadaman melibatkan tujuh anggota bomba dengan dua jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) bersama lima anggota serta sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan dua anggota.
