KOTA KINABALU: Penduduk di sekitar Pantai Barat Sabah dikejutkan dengan gegaran kuat selama kira-kira 10 saat susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Kota Kinabalu, awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gempa berkenaan berlaku pada jam 12.57 pagi dengan koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur.
Gempa itu dikesan kira-kira 49 kilometer (km) barat dari Kudat pada kedalaman 678 kilometer (km).
Gegaran dilaporkan dirasai di sekitar Kota Kinabalu, Penampang serta beberapa daerah lain di Pantai Barat Sabah. Selain itu, ia turut dirasai di beberapa kawasan di Sarawak.
Bagaimanapun, METMalaysia memaklumkan tiada ancaman tsunami dikeluarkan susulan kejadian berkenaan.
Agensi itu turut memaklumkan akan terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi termasuk laman web mygempa.met.gov.my.
