KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan DAPSY Sabah, parti-parti pembangkang serta sebahagian orang awam berhubung pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yakub sebagai Pengerusi baharu Sabah Development Berhad (SDB).
Ketua Bahagiannya, Encik Mohd Bahrin Abdul Karim, berkata walaupun Dr.Yusof berdepan pertuduhan berkaitan kes rasuah melibatkan dakwaan suapan berhubung lesen carigali mineral di Sabah, perkara itu masih berada dalam proses perundangan dan belum diputuskan oleh mahkamah.
Menurutnya, Dr. Yusof yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin serta bekas ADUN Sindumin selama dua penggal, telah menafikan sebarang salah laku, memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengaku tidak bersalah di mahkamah.
“Gagasan Rakyat Bahagian Likas menyokong pelantikan yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, selaras dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang iaitu seseorang individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Bahrin menegaskan, kewujudan kes mahkamah yang masih berjalan tidak boleh dianggap sebagai satu sabitan kesalahan dan juga tidak secara automatik melucutkan kelayakan seseorang individu untuk memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata, pelantikan berkenaan mencerminkan pendirian Kerajaan GRS yang menolak sebarang cubaan mempolitikkan proses pelantikan atau membentuk persepsi awam seolah-olah individu terbabit telah bersalah sebelum keputusan muktamad mahkamah dibuat.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak adil, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara serta tadbir urus institusi awam,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Bahrin menggesa sayap pemuda DAPSY Sabah agar tidak bertindak dengan pendekatan yang dilihat bermotifkan kepentingan politik semata-mata sebaliknya mereka harus lah menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Semua pihak wajar bersikap matang, berpegang kepada fakta serta memberi ruang kepada institusi kehakiman menjalankan tanggungjawabnya tanpa tekanan atau persepsi negatif yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
