KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menyempurnakan upacara pecah tanah Projek Naiktaraf Jalan Taginambur-Kamburaon Kadamaian.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, projek berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM21.476 juta, merangkumi kerja pengaspalan jalan sejauh 2.55 kilometer serta pembinaan sebuah jambatan konkrit dua hala.
Projek itu dijadualkan siap sepenuhnya pada November 2027.
“Saya yakin apabila siap sepenuhnya jalan ini akan memberi manfaat kepada ribuan penduduk, khususnya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke SMK Narinang dan SK Taginambur.
“Selain itu, jalan ini juga akan memberi keselesaan kepada semua pengguna harian termasuk pelancong yang berkunjung ke perusahaan pelancongan di sepanjang jalan ini, di samping menyokong aktiviti ekonomi kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah projek naiktaraf jalan itu, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kemudahan jalan berturap akan terus menjadi keutamaan beliau selaku wakil rakyat Kadamaian kerana ia merupakan pembolehubah penting yang memacu aktiviti ekonomi rakyat.
“Selain Projek Jalan Taginambur–Kamburaon, beberapa projek pengaspalan jalan utama lain sedang giat dilaksanakan di Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus dan Jalan Podos, serta pembinaan dua jambatan konkrit utama iaitu Jambatan Kaung dan Jambatan Malangkap.
“Saya berharap lebih banyak projek naik taraf jalan perhubungan utama dapat dilaksanakan di kawasan DUN Kadamaian pada tahun ini, sejajar dengan keutamaan Kerajaan Sabah untuk memastikan rakyat menikmati kemudahan asas jalan raya yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas penyediaan peruntukan, serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai agensi pelaksana dan semua pihak yang terlibat menjayakan Projek Naiktaraf Jalan Taginambur-Kamburaon Kadamaian.
Apabila siap kelak, jalan ini akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Barob, Kg.Potomodun, Kg.Tiong Kamburaon, Kg.Tiong Tiong dan Kg.Gontung.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tiong Kamburaon, Juhanis Tinggi, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, khususnya ADUN Kadamaian atas keprihatinan terhadap penyediaan kemudahan asas untuk penduduk kampung.
“Sebagai penduduk kampung yang menggunakan jalan ini setiap hari, saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana akhirnya jalan kampung kami akan dinaiktaraf. Ini lah yang kami tunggu-tunggu selama ini.
“Walaupun penaiktarafan ini tidak sampai sepenuhnya ke kampung saya, namun sekurang-kurangnya ia sudah banyak membantu kerana jalan ini sangat diperlukan, terutama untuk menghantar anak-anak ke SMK Narinang dan SK Taginambur,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini penduduk kampung berdepan kesukaran untuk menghantar anak-anak ke sekolah, akibat keadaan jalan yang rosak.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan meneruskan projek penaiktarafan jalan sehingga ke Kampung Tiong Manggis, Kampung Tiong Kamburaon dan Kampung Tambailik.
Juhanis berkata laluan itu merupakan jalan alternatif penting untuk penduduk menuju ke Tuaran, khususnya Tenghilan, yang lebih dekat berbanding melalui laluan jalan Kota Belud.
“Jalan ini melibatkan tujuh kampung dan amat penting kerana kesemua penduduknya merupakan petani. Penambahbaikan jalan akan memudahkan urusan harian termasuk mengangkut hasil pertanian, membeli bekalan, mendapatkan rawatan di hospital serta pergerakan ke destinasi lain,” katanya.
