LAHAD DATU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick merasmikan Loji Penyahgaraman Air Laut JETAMA bagi menyokong keperluan bekalan air industri di POIC Lahad Datu.
Beliau berkata, inovasi itu merupakan yang pertama diperkenalkan bagi membantu menangani keperluan bekalan air kepada kilang-kilang perusahaan di kawasan itu.
“Tahniah kepada POIC Sabah dan JETAMA Water di atas kerjasama membangunkan inovasi ini yang boleh menjadi penyelesaian in-situ kepada bekalan air di beberapa tempat di Sabah,” katanya selepas merasmikan loji itu, di sini, hari ini.
Dalam lawatan itu, Ewon turut diberi taklimat mengenai operasi dan proses penyahgaraman di loji itu.
Terdahulu itu beliau diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa serta perancangan pembangunan POIC Lahad Datu, termasuk visi menjadikan kawasan itu sebagai Eastern Gateway for Sabah, di POIC Container Terminal.
“Saya diberi taklimat berkenaan operasi semasa dan juga rancangan pembangunan menjadikan POIC Lahad Datu sebagai Eastern Gateway for Sabah.
“Ketika ini terdapat 46 perusahaan besar yang beroperasi di sini dan masih mempunyai ruang pembangunan perusahaan baharu, termasuk di kawasan Free Zone POIC,” katanya.
Ewon berkata, untuk terus berkembang, POIC Lahad Datu memerlukan kawasan perindustrian tambahan terutama selepas memperolehi status Free Zone yang disokong dengan pengoperasian pelabuhan oleh POIC.
“Saya juga diberi taklimat mengenai bekalan air tambahan melalui inovasi industrialized water yang dibangunkan oleh JETAMA Water khas untuk perusahaan-perusahaan di POIC Lahad Datu bagi membantu menangani bekalan air dalam taman perindustrian di sini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan terdapat keperluan untuk menyemak semula dasar sedia ada berkaitan pembangunan taman-taman perindustrian di seluruh Sabah bagi memperkukuh autoriti badan pengelola taman perindustrian.
“Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah akan terus menyokong POIC Lahad Datu sebagai antara taman perindustrian utama negeri yang mesti dibangunkan sebagai Eastern Gateway Sabah,” katanya.
Kemudiannya beliau melawat Kilang Legenda Bumimas.
Ewon menyatakan sokongan penuh terhadap pembangunan industri hiliran kelapa sawit di Sabah termasuk di POIC Lahad Datu, merangkumi sektor biojisim.
“Beberapa usaha sedang dilaksanakan termasuk libat urus berterusan dengan kilang-kilang CPO di seluruh Sabah serta penyediaan enakmen khusus bagi menggalakkan pembangunan perusahaan hiliran berasaskan kelapa sawit dibangunkan di Sabah, termasuk biojisim
“Saya hargai pelaburan domestik yang dibuat oleh Legenda Bumimas yang harus mendapat sokongan daripada kementerian,” katanya.
Seterusnya, Ewon meninjau Genting Biorefinery yang terlibat dalam pengeluaran biodiesel dan menyatakan bahawa syarikat itu merupakan antara perusahaan terawal beroperasi di POIC Lahad Datu serta menggaji sepenuhnya tenaga kerja tempatan.
Turut serta dalam lawatan ini ialah Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone J.Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian MINDET, Datuk Thomas Logijin, Pengerusi POIC Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau, Timbalan Pengerusi POIC Sabah Datuk Janathan Kandok, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pegawai-pegawai kanan POIC Sabah.
