KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperkukuh peranannya sebagai agensi penyelaras keselamatan di Sabah Timur dengan meningkatkan kerjasama bersama jabatan kerajaan, pasukan penguat kuasa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk perubahan cuaca dan laporan gegaran di kawasan perairan.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata pihaknya sentiasa bersedia membantu serta menyelaras operasi bersama semua agensi di peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan tahap kesiapsiagaan keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menurutnya, pemantauan berterusan dilakukan khususnya susulan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai kejadian gegaran yang kebanyakannya berlaku di kawasan laut termasuk perairan berhampiran Kudat.
Beliau berkata arahan telah diberikan kepada pegawai di pusat operasi supaya sebarang perkembangan berkaitan cuaca atau situasi tidak menentu dimaklumkan segera kepada pasukan keselamatan terutama aset di laut agar langkah berjaga jaga dapat diambil dengan cepat.
“Pusat Operasi ESSCOM sentiasa berhubung dengan jabatan berkaitan khususnya Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.
“Sekiranya terdapat sebarang amaran yang perlu disampaikan kepada masyarakat atau pasukan keselamatan di darat dan laut, ESSCOM akan memastikan maklumat tersebut disalurkan dengan segera,” katanya.
Tambah beliau, ESSCOM memainkan peranan penting dalam penyelarasan operasi serta memastikan bantuan daripada agensi berkaitan dapat digerakkan dengan pantas sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya komuniti di Zon Keselamatan Timur Sabah dinasihatkan supaya tidak panik dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi untuk mendapatkan maklumat yang sahih.
Masyarakat juga diingatkan agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga keselamatan bersama.
