KOTA KINABALU: Enam syarikat tempatan Sabah dinobatkan pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 atas kecemerlangan prestasi, inovasi serta daya saing dalam sektor perindustrian dan keusahawanan.
Enam syarikat itu ialah Brown Eyes Production, The Best Solution Management Sdn.Bhd, Twinine Sdn.Bhd, Kedai Emas Osheen Jaya Sdn.Bhd., Onaki Sdn.Bhd dan Jetsin Sdn.Bhd.
Brown Eyes Production memenangi kategori usahawan IKS Tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM1 juta. Manakala pemenang bagi Kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM5 juta dimenangi oleh The Best Solution Management Sdn.Bhd.
Bagi kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM10 juta dimenangi oleh Twinine Sdn.Bhd. Kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan antara RM10 juta hingga RM25 juta dimenangi Kedai Emas Osheen Jaya Sdn.Bhd.
Onaki Sdn.Bhd pula memenangi anugerah kategori syrikat tempatn dengan jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM50 juta.
Manakala kategori terbuka iaitu syarikat tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM50 juta atau syarikat milik asing dimenangi oleh Jetsin Sdn.Bhd
Kesemua anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025, di sini, semalam.
Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berkata, AKIS merupakan platform penting untuk mengiktiraf syarikat tempatan yang menunjukkan pencapaian cemerlang serta menjadi contoh kepada pemain industri lain di negeri ini.
“Anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi diharap mampu mencetuskan inspirasi kepada lebih ramai usahawan Sabah untuk menceburi bidang keusahawanan dan perindustrian yang berdaya saing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Ewon berkata, AKIS yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 dan dianjurkan setiap dua tahun sekali kini melangkah ke dekad baharu pelaksanaannya, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem industri yang mampan dan berdaya saing.
“AKIS bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan syarikat dan usahawan tempatan, malah menggalakkan daya saing sihat, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyerlahkan amalan terbaik pengurusan dan operasi syarikat,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran AKIS 2024/2025 yang bertemakan “Moving Towards Excellence” bertujuan memperkasa budaya kecemerlangan pengurusan, mengiktiraf pencapaian organisasi serta menggalakkan pengeluaran produk bernilai tinggi yang mampu bersaing di pasaran.
Dalam majlis sama, seramai 50 peserta Program Transformasi Usahawan Sabah turut diraikan, yang melibatkan bimbingan dan bantuan penambahbaikan pembungkusan serta pelabelan produk bagi memenuhi keperluan dan piawaian pasaran.
“Program ini membantu usahawan IKS meningkatkan kualiti pembungkusan dan pelabelan produk mereka, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran yang lebih besar,” katanya.
Ewon berharap pengiktirafan AKIS 2024/2025 dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat Sabah untuk terus meningkatkan prestasi, memperkukuh kualiti produk dan perkhidmatan, serta membawa nama Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa.
