KOTA KINABALU: Seramai enam individu dikenakan tindakan kompaun dalam Ops Bersih yang dijalankan oleh Unit Kawal Selia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sekitar kawasan Jeti DBKK dan Waterfront, hari ini.
Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005, dengan sasaran terhadap individu atau pihak yang didapati mengotorkan kawasan awam.
Menurut DBKK, Ops Bersih dilaksanakan setiap hari bukan sahaja bagi menguatkuasakan undang-undang, malah bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan bandaraya serta mendidik orang awam agar lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran.
Antara kesalahan yang sering dikesan dalam operasi berkenaan termasuk membuang puntung rokok, tisu, botol minuman dan bekas makanan di tempat awam.
Di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, pesalah boleh dikenakan kompaun serta-merta atau Compound On The Spot (COS) tidak kurang RM30 dan tidak melebihi RM500 bergantung kepada jenis serta jumlah sampah yang dibuang, atau memilih untuk hadir ke mahkamah melalui Summon On The Spot (SOS).
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, atau dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan melakukan kerja-kerja masyarakat selama empat jam sehari dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan.
DBKK memaklumkan Ops Bersih akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan kebersihan dan imej bandaraya Kota Kinabalu sentiasa terpelihara, selain mengingatkan orang awam agar bersama-sama mematuhi undang-undang dan menjaga kebersihan persekitaran bandaraya.
