KENINGAU: Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, yang menegaskan keperluan mana-mana pihak kembali kepada empat teras perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum menyertai gabungan itu disifatkan sebagai langkah tepat dalam memperkukuh agenda politik tempatan Sabah.
Mantan Pengerusi Tetap STAR Bahagian Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Prosper, Sabah Forward dan Sabah United merupakan asas penting yang perlu difahami serta dihayati oleh mana-mana pihak yang ingin bersama parti-parti komponen dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, prinsip itu bukan sekadar slogan politik, sebaliknya menjadi panduan utama bagi memastikan kepentingan Sabah dan rakyat negeri ini terus diutamakan dalam setiap dasar serta perjuangan politik.
“Penyertaan ke dalam mana-mana parti komponen GRS perlu dibuat dengan penuh keikhlasan dan komitmen terhadap agenda Sabah, bukan sekadar didorong oleh sentimen atau kepentingan jangka pendek,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor berkata demikian ketika mengulas kenyataan Armizan yang berpandangan bahawa mana-mana pihak yang ingin menyertai GRS perlu berpegang teguh kepada empat teras perjuangan gabungan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan menarik sokongan terhadap GRS apabila menjelang pilihan raya selepas diterima menyertai gabungan itu adalah tidak wajar.
Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat, malah berpotensi melemahkan usaha memperkukuh kesatuan politik tempatan.
“Sabah akan menjadi lebih kuat sekiranya semua pihak yang memperjuangkan agenda negeri dapat bersatu di bawah landasan yang sama serta kekal konsisten dalam perjuangan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kesatuan politik tempatan akan terus menjadi kekuatan utama dalam memastikan suara Sabah dihormati dan diberi perhatian di peringkat nasional.
