SEMPORNA: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian enjin bot di Sea Star Resort, di sini, selepas bertindak pantas hasil siasatan dan maklumat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, kejadian itu disedari pemilik resort berkenaan, seorang lelaki tempatan berbangsa Cina, pada 27 Januari lalu kira-kira jam 7.30 pagi selepas mendapati sebuah enjin bot jenama Yamaha 15 kuasa kuda (hp) yang disimpan di dalam stor resort telah hilang.
“Hasil semakan rakaman CCTV mendapati pada kira-kira jam 12.37 tengah malam, tiga lelaki datang menggunakan sebuah bot kecil sebelum salah seorang daripada mereka masuk ke dalam stor dan melarikan enjin bot berkenaan menggunakan bot yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggaran kerugian akibat kejadian itu dianggarkan bernilai RM7,500.
Susulan laporan yang dibuat, pada 28 Januari lalu kira-kira jam 10.55 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya menahan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.
“Hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan sebuah bot kayu dan sebuah enjin bot 40 hp jenama Yamaha. Siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada penahanan tiga lelaki lagi di Kampung Pulau Lumanggas,” katanya.
Tambah beliau, polis turut merampas sebuah lagi enjin bot Yamaha 15 hp yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kecurian berkenaan.
Kesemua suspek didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan kini ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Tan menegaskan pihak polis akan terus komited membanteras jenayah harta benda di daerah ini dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.
