SEMPORNA: Empat individu dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dalam beberapa kes berasingan yang berlaku di sekitar daerah ini.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret, Don Stiwin Malanjum selepas mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.
Bagi kes pertama, tertuduh Mohammed Ridwan bin Hud dijatuhi hukuman denda RM4,100 atau penjara 14 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh didapati memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 2.42 gram pada 10 November 2025 kira-kira jam 11 malam di kawasan Perumahan Staf S1 Pinang Palm Oil Mill, Semporna.
Dalam kes kedua, Harry Balorio, 30, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan. Mahkamah turut memerintahkan supaya tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman. Tertuduh didapati memiliki methamphetamine seberat 0.08 gram pada 6 Januari 2026 kira-kira jam 1.25 petang di tepi Kampung Batu, Semporna.
Sementara itu, Muhaimin bin Ibnu Hashim, 49, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas didapati memiliki methamphetamine seberat 0.16 gram pada 18 Disember 2025 kira-kira jam 8 malam di tepi jalan Kampung Batu, Semporna.
Tertuduh juga akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.
Bagi kes keempat, Subirman bin Milert, 44, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh tangkapan selepas didapati memiliki methamphetamine seberat 0.17 gram pada 15 Januari 2026 kira-kira jam 10.40 pagi di hadapan Dewan Serbaguna IPD Semporna.
Pendakwaan bagi kes-kes tersebut dikendalikan oleh Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq bin Abdullah. Kesemua tertuduh tidak diwakili oleh peguam bela sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Semporna menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dadah kerana kesannya bukan sahaja merosakkan masa depan individu, malah memberi impak buruk kepada keluarga serta masyarakat.
