KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan dua lelaki warga Filipina bersama sebuah bot pam kerana disyaki menceroboh perairan negara tanpa dokumen sah dalam satu operasi rondaan di perairan berhampiran Pulau Tiga, Pulau Banggi, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot berkenaan dikesan hasil maklumat yang diterima melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum pasukan rondaan digerakkan ke lokasi menggunakan bot operasi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati kedua-dua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri serta dokumen perjalanan yang sah untuk berada di perairan Malaysia.
“Susulan itu, kedua-dua suspek bersama bot pam telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta peruntukan undang-undang berkaitan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).
Hasbullah menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara bagi membanteras pencerobohan serta kemasukan pendatang asing tanpa izin.
Orang ramai khususnya komuniti maritim turut diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611 858 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
