KENINGAU: Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 19 tahun selepas dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat merosakkan papan tanda jalan milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan tepi Jalan Sinaron–Tongod, di sini.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penularan satu video pendek berdurasi 22 saat yang memaparkan perbuatan dua individu merosakkan tiang papan tanda jalan berkenaan, kira-kira jam 12.08 tengah malam pada 2 Februari lalu.
Menurutnya, hasil maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya menahan kedua-dua suspek pada hari yang sama kira-kira jam 6 petang di Kampung Sinaron.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan menyatakan perbuatan itu dilakukan atas alasan bergurau. Rakaman video kejadian itu dirakam oleh rakan mereka yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati rakaman video itu pada awalnya dimuat naik ke status WhatsApp milik rakan suspek dengan tetapan ‘public’ sebelum disunting dan dimuat naik semula oleh individu tidak dikenali ke laman sosial Facebook sehingga menjadi tular.
“Walaupun video berkenaan telah dipadamkan, siasatan tetap dijalankan bagi mengenal pasti semua pihak yang terlibat,” katanya.
Susulan tangkapan tersebut, polis memperoleh perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan cara merosakkan harta benda dan menyebabkan kerugian terhadap harta milik Kerajaan Malaysia.
Dalam pada itu, Yampil menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang perlakuan jenayah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
