TAWAU: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas didapati bersalah memiliki 170 kilogram minyak masak tanpa kebenaran sah di perairan Semporna, bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, Felsing Bin Abdul Murin dan Lichin Bin Felsing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, disabitkan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan secara borong atau runcit barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan.
Hakim, Ahmad Faizadh Bin Yahaya, memerintahkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh tangkapan.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Satunlucy Bin Lamioh @ Lamidah, berkata kesalahan itu dilakukan pada 28 Februari 2026 kira-kira jam 4.40 petang di kawasan perairan antara Pulau Mataking dan Pulau Boheyan, Semporna.
“Tangkapan dibuat oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am Kunak hasil pemeriksaan sebelum diserahkan kepada KPDN Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, siasatan dikendalikan oleh pegawai penguat kuasa KPDN sebelum prosiding pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa kementerian tersebut. Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam sepanjang prosiding.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan minyak masak seberat 170 kilogram itu dijual dan dijadikan hasil kerajaan.
Barang kes lain termasuk sebuah bot pam dan enjin pam pula dilucuthakkan kepada KPDN di bawah Seksyen 26(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Satunlucy menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan.
“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan kestabilan bekalan barang kawalan dan melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Selepas tamat menjalani hukuman, kedua-dua lelaki tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
